Monday 4 June 2012

.:kisah 3 bulan:.

alhamdulillah..

Umar Musleh sudah 3 bulan. Apa perkembangan Umar Musleh setakat ni? mari kita lihat..

+ tangan dan kaki sudah sedikit tegap.
+ mulut sangat petah berbunyi dan berbual dengan bahasa sendiri.
+ sudah menyedari kemampuan suara hi-pitch dan menangis.
+ sudah pandai meniarap..yeay!
+ sangat teruja bila mama bercerita 'kisah sang kancil dan buaya' dgn pelbagai nada suara.
+ sangat tekun bila melihat tv dan youtube, esp rancangan kartun dan iklan yang berwarna warni.

banyak lagi development Umar Musleh yang nak diceritakan. satu-satu ye. cuma saya nak berkongsi tentang sedikit pengalaman dalam menjana dan menggalakkan pertumbuhan minda Umar Musleh.

1. youtube - saya gunakan youtube sebagai medium untuk menggalakkan perkembangan minda dan rangsangan Umar Musleh. dimana saya mainkan lagu-lagu dari simple learning song..twinkle2 little star, hickory dickory dock, row row row your boat, good morning mr. rooster. dan saya rasa sangat membantu. seronok lihat Umar Musleh ada respon terhadap warna, gerakan dan bunyi dari video2 tersebut. tapi ingat..kadar jarak antara anak dan ipad/iphone/lappy hendaklah diawasi.

2. bercerita/membaca - saya gemar bercerita dengan gaya intonasi berbeza dan mimik muka berbeza. ada nada tinggi, rendah, turun naik...cerita kegemaran saya sudah tentu sang kancil dan buaya. lazimnya saya ambil kesempatan bercerita semasa mendandan umar musleh seusai mandi. dan respon Umar Musleh memang sangat buat saya gembira. alhamdulillah.

3. Surah Toha - dulu mak saya selalu tiup surah toha ayat 1-5 ke ubun ubun adik saya yang lelaki tu. dan sekarang, saya lakukan pada Umar Musleh pula. supaya Umar jadi anak yang lembut hati dan mendengar kata. supaya Umar jadi anak yang cerdik dan punya akhlak terpuji.

"hai semua...Umar dah boleh flip sendiri tau "

dan begitu kisahnya..

Tuesday 1 May 2012

.:kisah belasungkawa:.

salam.

lama tak blogging kisah umar. maaf. kami sekeluarga masih dalam mode berkabung. cik atai @ cik lan..suami wak siti (makcik umar sebelah babah) kembali ke rahmatullah tanggal 24 april lalu. seminggu juga umar berkampung kat rumah wak siti.

hari terakhir pemergian arwah sempat bergurau senda dengan umar musleh. kebetulan babah tergerak hati nak bawa umar ke rumah wak siti. almaklumlah, selalunya umar tidur je bila ke rumah wak siti. petang tu lepas ambik umar kat rumah babysitter, babah bawa umar pusing2. terus pegi rumah wak siti.

sempat la cik lan gomol-gomol umar sampai maghrib, terkekeh2 umar diagah, lepas solat maghrib..babah ajak balik. cik lan pun keluar pegi main badminton. pukul 12 malam..babah dapat call, cik lan masuk DEMC. pkul 12.15 babah call mama bagitau cik lan dah takde. alkisahnya, kawan2 arwah bagitau arwah keluar awal dari court badminton, lebih kurang pukul 9 lebih..tapi bila kawan2 arwah selesai main badminton dlm pkul 11 lebih..diorang nampak kereta arwah ada lagi & arwah terbaring dalam kereta. sejuk dah.

malam tu umar agak cranky, babah pulak takde..balik sg besar ambik kakak dia yg sulung. mama jaga umar sambil baca yasin. hati dah tak tenang. sbb terkenang wak siti & anak2 yg masih kecik.

pagi-pagi hantar umar ke BS..terus ke rumah kak siti. sayu tengok anak2 arwah. kebetulan yang bongsu memang rapat dengan kami suami isteri. bila melayan dia sarapan pagi tu, dia tanya dengan suami saya.."ayah mana?". suami saya & adik ipar saya tak terjawab..masing-masing larikan diri sebab sebak hati. saya juga kena menjawab. dengan selamba saya menangis depan dia sambil suruh dia makan. pertanyaan dia saya biarkan sahaja.

abang lan ..biras saya yang baik. lucu orangnya. sgt sistematik + berdisiplin dalam urusan kerja. bila kumpul adik beradik, memang meriah. kebetulan yang masuk dalam keluarga wak salio ni semuanya tahan gurau + pandai bergurau termasuk arwah. kehilangan arwah memang sangat2 kami semua rasai.

bila umar sudah faham, saya akan ceritakan kenangan terakhir umar dengan arwah di hari terakhir hayat arwah. dan momen tu juga masih segar tertancap dalam hati saya sebagai kenangan terakhir kami sekeluarga dengan arwah.

belasungkawa untuk allahyarham raslan bin khairudin .. alfatihah

Sunday 22 April 2012

.:kisah puting: penenang atau candu?:.

"jangan bagi anak hisap puting, nanti gigi jongang"

demikian ayat yang biasa kita dengar kalau anak diberi hisap puting. malah saya pun terperdaya dengan ayat klise tersebut. hinggakan saya dan suami pernah (kononnya) bercita-cita menjadikan puting sebagai barang larangan untuk anak kami.

tapi semua itu cita-cita sahaja bila anak kami lahir. masa masih fantasi (dalam perut), semua boleh diimajinasi. tapi andai dah jadi realiti (keluar dari perut), masa itulah baru tahu susahnya nak realisasi. ok. mesti ada makcik pakcik yang 'tak bagi anak puting' dengan bangganya berkata, "alaa..i boleh je buat". lain padang, lain belalang..lain orang, lain ragam. ewah..berpantun pulak dia. ye..hakikatnya aneka ragam umar musleh semasa dalam pantang, buat saya ambil keputusan ajar dia kenal puting. atau saya lebih suka panggil sebagai 'soother'. dan saya kenalkan dia masa dia dah umur sebulan lebih. mak uda/ mama de dia yang belikan 'soother' masa hari kami nak gerak pulang ke shah alam.

cuma sebelum buat keputusan tersebut, saya lakukan beberapa kajian di internet dan bahan bacaan serta bertanya beberapa kawan tentang 'soother' ni. soother ni ada pro dan kontranya. kalau masyarakat kita, anggap puting adalah punca jongang..oh, maafkan saya andai menyinggung anda yang jongang. dan orang barat akan ketawa golek2 kalau dengar anggapan punca jongang tu. dan bagi mendapatkan pengesahan, saya bertanya seorang dentist tentang kesahihan anggapan tersebut, dan dentist tersebut tersenyum sambil berkata, "dan tahukah anda bahawa sekarang ini ada puting yang mampu mempengaruhi pembentukan gigi jadi cantik juga? dan hal jongang tu, puting hanyalah faktor minor..bukan major. tak baik salahkan puting bila jadinya jongang."

dan tahukah anda bahawa The American Academy of Pediatrics telah menyarankan penggunaan puting semasa tidur bagi mengurangkan risiko SIDS (sudden infant death syndrome).

dengan bacaan dan sedikit kajian, maka saya tak ragu-ragu perkenalkan 'puting' @ soother pada Umar Musleh. Emak yang mula-mula sekali minta saya perkenalkan puting. sebabnya, Umar agak cranky masa dalam hari terutama jam 3-4 pagi. dan biasanya dia akan tenang bila didodoikan oleh emak. pergerakan saya amat terbatas memandangkan luka c-zer masih terasa. maka, emak jatuh belas dengan keadaan saya. dan bila saya mahu pulang ke shah alam..mak sarankan cari soother untuk umar sebab kalau umar cranky di awal pagi, cuba umpan dengan soother. percubaan pertama mujarab..memang Umar jadi calm bila diumpan soother. dan bila dia nyenyak tidur...secara automatik, dia buang soother dari mulut.

dan saya rasa tak salah saya perkenalkan soother kepada Umar Musleh, tambahan pula dengan design orthodontic pacifier. sebab? bila saya perkenalkan EBM melalui botol susu, Umar Musleh boleh menerima susu ibu yang diberi melalui botol. alhamdulillah.

sesuai dengan nama 'soother', saya hadkan penggunaan puting hanya bila Umar Musleh cranky nak tido. Umar memang agak cranky kalau nak tido. maka, saya bagi dia soother sebagai penenang. dan bila nyenyak..dia akan lepaskan sendiri soother tu dan saya simpan.

target saya soother ini hanya sehingga Umar berusia 6 bulan. insyallah, bulan julai nanti bila saya sudah menjaga Umar sepenuhnya..saya akan latih Umar untuk tidur tanpa soother. saya tidak mahu jadikan soother ni sebagai candu utk Umar, tapi saya nak jadikan sebagai penenang sahaja.

maka ibu-ibu di luar sana, pilihan di tangan anda. samada ingin beri soother atau tidak, terpulang. dan janganlah memperlekehkan ibu-ibu yang memilih memberi soother pada anak-anak mereka. masing-masing ada alasan tersendiri bukan? bagi saya, ini tips untuk penggunaan soother:

1. gunakan orthodontic pacifier design.
2. minimumkan penggunaan soother.
3. jadikan soother sebagai penenang anak sahaja, bukan candu.
4. jangan perkenalkan puting selagi anak anda belum berusia sebulan ke atas. terutama bagi yang menyusu susu ibu. ini bagi mengelakkan nipple confuse pada anak tersebut.
5. usaha untuk pisahkan puting sebelum anak anda berusia setahun dan faham tentang puting tersebut.


"saya hisap puting tapi saya masih cool"

dan begitu kisahnya..

Friday 20 April 2012

.:kisah susu untuk Umar Musleh:.

salam.

"bayi yang menyusu susu ibu, satu hari nanti akan menyusukan anaknya"

demikian bunyi kempen yang banyak digantung di PPUM.oh kecuali kalau bayi tu lelaki (gurau prof azmi) alhamdulillah, saya rasa saya salah seorang dari bayi tersebut. saya dan adik beradik lain menyusu susu ibu secara direct feeding dengan mak selama 2 tahun setiap org. ye laa..zaman tu mak housewife dan konsep mengepam dan EBM semua ni masih janggal di Malaysia ni. saya niat untuk menyusukan anak-anak saya seawal saya dah pandai berangan nak kahwin. ye..di bangku sekolah menengah lagi dah pandai berangan kahwin, ada anak dan susukan. masa tu saya tidak terfikir langsung tentang EBM dan sebagainya. saya juga tidak pasti tentang berapa kerap bayi menyusu sampai saya tidak terfikir bahawa saya perlu menyusukan ketika bekerja.

tapi saya amat ragu-ragu dengan kemampuan saya menyusukan sebab keadaan dada saya sedikit flat. eh, memang flat bak golongan pengkid yang membalut dada mereka dengan strap gayanya. aduhai. memang saya hilang keyakinan diri la bila tengok dada sendiri. hahahaha.

tahu atau tidak, sepanjang saya mengandungkan Umar Musleh..saya berdoa setiap hari agar saya mempunyai kekuatan dan mampu menyusukan zuriat saya dengan sebaiknya kelak. tak pernah putus. bukan itu sahaja, saya begitu nekad membeli pam avent manual dan medela fs yang agak mahal harganya dengan niat untuk menyusukan anak saya. walhal saya sendiri tidak pasti tentang keupayaan badan saya menghasilkan susu. tapi saya pejamkan mata dan bayar sahaja. duit kutu saya gunakan. sikit pun saya tidak minta suami saya belikan. sebab suami saya pun masih tidak faham dan seakan tidak mahu faham tentang breastfeeding ni. maka wang yang saya ada, yang awalnya saya berangan untuk digunakan berfoya-foya di indonesia...akhirnya saya laburkan untuk Umar Musleh.

berbaloi atau tidak? alhamdulillah...sangat berbaloi. sikit pun tidak rasa ralat tidak dapat berjoli katak di indonesia. tambahan pula bila tengok anak sendiri sihat tembam dan cergas hasil susu ibu.

seawal kelahiran Umar Musleh, saya amalkan makan lobak putih. petua orang dulu-dulu. alhamdulillah..berkesan pada saya. begitu juga horlick dan milo. sekarang ni nescafe. orang kata milk booster. selain tu saya juga amalkan vitamin shaklee. dalam minda saya, saya tidak pernah menetapkan makan itu susu banyak, minum ini susu meriah..tapi saya tetapkan bahawa makan itu baik utk kesihatan saya, minum ini bagus untuk kecergasan saya. supplement pula membantu tubuh saya. jadi, bila tubuh saya sihat..minda saya cergas..saya boleh jadi seorang yang happy dan tak moody, maka penghasilan susu saya pun akan jadi lancar. insyallah.

kenapa saya memilih menyusukan Umar Musleh dengan susu saya sendiri? sebabnya..


1. Kandungan protein yang tinggi.
Susu ibu mempunyai kandungan protein ‘whey’ iaitu sejenis protein yang mudah diserap oleh usus badan. Nisbahnya adalah 70(whey):30(kasein). Tidak seperti susu formula, nisbah protein ‘whey’ dan kasein adalah rendah. Protein yang mudah diserap, akan digunakan sepenuhnya di dalam pembesaran bayi.
2. Mempunyai antibodi dalam memerangi jangkitan.
Susu ibu juga mempunyai antibodi yang bertindak sebagai ‘pertahanan pertama’ di dalam badan. Apabila terdapat jangkitan, badan kita mempunyai 3 lapisan pertahanan dalam memerangi jangkitan tersebut. Bolehkah susu formula melakukannya? Sudah tentu tidak. Belum ada susu formula yang memberikan antibodi yang terbaik seperti yang dapat diberikan oleh susu ibu.
3. Mengurangkan jangkitan usus.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bayi yang didedahkan dengan susu formula lebih awal berisiko untuk mendapat jangkitan usus seperti cirit-birit dan sebagainya. Susu ibu terbukti di dalam kajian mencegah jangkitan usus ini diperingkat bayi.
4. Menguatkan hubungan antara ibu dan bayi.
Di sini, kasih sayang antara ibu dan anak akan terbentuk akibat hormon yang dihasilkan di dalam badan. Bayi yang menggunakan susu formula, mungkin agak sukar untuk ibu membentuk ikatan bersama anaknya. Ia bagaikan satu bentuk semulajadi yang sangat kita perlukan dan tidak memerlukan teknologi untuk mencapainya.
5. Meningkatkan perkembangan mental kanak-kanak.
Terdapat kajian yang menunjukkan IQ kanak-kanak yang berumur 7 hingga 8 tahun yang mempunyai sejarah menyusu badan lebih dari 6 bulan adalah lebih tinggi daripada kanak-kanak yang menyusu kurang daripada 6 bulan. Semestinya kita mahukan yang terbaik untuk anak kita bukan? Lebih-lebih lagi ibu-bapa sekarang sangat mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka.
6. Kurang berisiko untuk mendapat alahan.
Ramai kanak-kanak di zaman moden ini mempunyai alahan seperti asma, alahan makanan, yang menyebabkan kulit gatal-gatal dan kemerah-merahan. Dengan penyusuan badan lebih daripada 12 minggu di dalam keluarga yang mempunyai sejarah alahan kadar berlakunya alahan terhadap bayi adalah lebih rendah daripada menggunakan susu formula.
oh...last but not least..
7. Saya ingin punya anak seperti Ustaz Don. silalah baca kisah ustaz Don semasa bayi ye :)



taraaa...inilah hasilnya anak yang segar bugar dek susu ibu :)

dan begitu kisahnya...

Thursday 19 April 2012

.:kenapa Umar Musleh?:.


"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari qiamat dengan nama-nama kamu, dan nama-nama bapa kamu, maka perindahkanlah nama-nama kamu itu." (Riwayat Abu Daud)


nama itu doa. itu je yang saya tetapkan dalam hati. maka, saya mahu nama anak-anak saya adalah bukan sahaja indah disebut, tapi juga cantik maknanya yang bilamana dipanggil oleh semua orang sekaligus ianya dapat menjadi doa yang membentuk akhlak, jiwa dan iman si kecil menjadi elok, positif dan penuh sifat mahmudah. insyallah..

ramai bertanya, 'kenapa tiada Muhammad di depan nama Umar Musleh?'. saya cuma senyum. saya punya adik yang namanya 'mohammad' tapi akhirnya dipanggil 'mamat' atau 'mat' sahaja. dan akhirnya gelagat si mohammad adik saya ni tadi memang seperti cik mamat parang tumpul. hahahaha. bukan saya kata dia tidak baik, dia baik dan bagus budaknya, dia boleh dipercaya kalau jaga anak saya untuk tempoh yang lama, bijak (ramai guru2 yang beri komen ni masa zaman sekolah)..tapi kadang-kadang kenakalannya buat orang sakit jantung. tanya dia sendiri, betapa dia telah kebal dibelasah dengan getah paip, rotan, tali pinggan dan sebagainya. dan saya rasa hanya mak saya yang tetap memanggil dia dengan nama penuh 'mohammad'.

Umar Musleh...

Umar itu inspirasi dari kekaguman saya terhadap tiga tokoh yang bernama Umar..pertamanya, sudah tentu Saidina Umar Al Khattab r.a. Keduanya, Khalifah Bani Umaiyah, Khalifah Umar Abdul Aziz. dan Ketiganya, singa padang pasir Umar al Mukhtar (sila tonton filem kisah benar mengenai beliau dan anda pasti teruja). semangat, kepandaian, kewarakan, kecerdasan, dan tawaduk nya ketiga-tiga Umar ini menjadikan saya begitu bersungguh-sungguh ingin mempunyai zuriat yang bukan sahaja mempunyai nama sperti mereka tapi juga semangat, azam, iltizam, iman dan tawaduk yang persis tokoh-tokoh tersebut. ameen ya robb..

Musleh itu antara nama yang disenaraikan oleh habibaty Fatimah, sahabiah, ex roomate, PhD candidate IIUM, yang punya degree dlm bidang lugho wa sirah. Musleh itu maknanya yang memperbaiki, yang memperelok. maka, mudah-mudahan mujahid kecil saya ini akan menjadi seorang Umar yang memperbaiki dan memperelok segenap isi alam dengan ilmu dan iman kelak. ameen ya robb.. oh mungkin juga Umar akan menjadi engineer yang tegar seperti babah yang memperbaiki dan memperelok mesin di kilang kereta jepun itu.

untuk awalan, saya tidak menetapkan Umar Musleh perlu menjadi apa bila dewasa nanti. kalau pun ada, saya rahsiakan harapan saya tu dalam doa saya pada Yang Maha Satu. yang penting, tiap malam...saya terus menerus berdoa dan tiup di ubun-ubun Umar Musleh yang masih lembut, agar Umar Musleh menjadi yang soleh wa musleh. ameen ya robb.


ini gambar Umar al Mukhtar (again..carilah filem 'Lion of the Desert' dan tonton)

dan..


ini muka Umar Musleh dengan gaya garang bak 'lion'

(^.^)/

dan begitu kisahnya....


.:kisah kelahiran:.


alhamdulillah. ini sang mujahid yang saya bawa ke hulu ke hilir selama 9 bulan lalu. mujahid kecil ini yang temankan saya ke mahkamah, menghadiri mesyuarat di bank-bank, ke pejabat tanah, bertemu clients dan setia berdoa bersama saya tika saya sujud bersolat.

mujahid pertama buah cinta saya dan suami, kami namakan Umar Musleh bin Md. Zakaria. kenapa Umar Musleh? itu kita jadikan intipati akan datang ye :)

Umar Musleh lahir secara c-zer memandangkan 3 ubat induce yang dimasukkan kepada saya 'tak jalan'. setelah menunggu selama 18 jam (setiap ubat, saya perlu menunggu lebih kurang 6 jam kesannya)..dengan jalan yang tidak terbuka, dengan air ketuban yang telah mencurah bak air terjun..Dr. Ida beri pilihan kepada saya samada untuk terus menunggu bagi kelahiran normal atau c-zer sahaja? dan saya memilih c-zer. jangan tanya kenapa kalau anda sendiri sudah 18 jam terbaring, berjalan tawaf wad, dengan lencun air ketuban lagi..kalau saya masih memilih untuk bersalin normal, wallahualam..samada saya masih punya daya atau tidak. tambahan dengan kebocoran air ketuban tu, saya lebih risaukan infeksi terhadap mujahid kecil saya. maka, saya tandatangani borang pembedahan kecemasan, suntikan epidural dengan penuh tawakal. mak dan suami berada di rumah. nama pun kecemasan, maka suami saya memang tidak berada di sisi semasa saya di'operasi'. puncanya? suami tertidur dan tidak sedar bunyi telefon tika hospital menelefon memaklumkan pembedahan saya. tawakal..mudah2an segalanya lancar. mak dan suami...saya sudah pohon ampun dari mereka beberapa hari lalu. 

oh, sistem di PPUM ini masih perlu dikritik. terutama dari segi komunikasi antara pesakit-suami pesakit. saya tidak dibenarkan membawa telefon. suami pula hanya dibenarkan menunggu di ruang menunggu di tingkat 2, sedangkan saya di tingkat 5. suami hanya akan dipanggil sebaik sahaja isteri selamat melahirkan. tapi dalam kes saya, saya mohon ihsan jururawat untuk paging suami saya beberapa kali tapi hampa. jururawat tua yang banyak bertugas di wad bersalin memberi respon, "diorang dah panggil tadi." confirm ke dah panggil? sebaik sahaja suami sampai (itu pun sebab terjumpa pelajar master yg sy bantu kajiannya, dan pelajar ni bawa suami saya ke bilik saya)..suami kata tiada sesiapa yang paging. sekali lagi saya hampa. walhal seawal pagi saya jelas mendengar prof. azmi mengingatkan para jururawat di kaunter agar segera paging suami di ruang menunggu sebaik isteri bersalin sebab prof azmi bercakap berdasarkan pengalaman sendiri (lihat..doktor pakar ppum sendiri menerima nasib seperti suami saya). insyallah..untuk kelahiran akan datang, saya sudah sedia melaburkan 7k-10k untuk melahirkan anak demi untuk kondisi yang lebih selesa.

dengan berat 3.82 kg, Umar Musleh dilahirkan pada 17 februari 2012 jam 7 pagi. alhamdulillah. sebaik dilahirkan, mujahid kecil saya telah diletakkan di atas saya dan diberi kenal bau ibunya. menerima ucapan tahniah dari surgeon dan para pembantu membuat saya terharu. sebab saat itu saya telah bergelar ibu. masyallah!

ralatnya..anak saya telah diberi susu formula. yang tidak ralatnya...susu tersbut diberi melalui cawan khas dan bukan botol. sekurang-kurangnya anak saya tidak mengalami 'nipple confuse'. ya, saya akur dan faham memandangkan kondisi saya yang sangat lemah selepas operasi, saya rela dengan susu formula tersebut. tapi, sebaik sahaja saya segar dan mampu duduk..saya minta untuk 'nursing' anak saya. alhamdulillah..mujahid kecil saya bersungguh-sungguh menyedut kolostrum yang muncul awal2 penyusuan tersebut. 

susu tak cukup? sikit saya tak risau sebab awal-awal saya telah sediakan diri dengan jawapan-jawapan bergaya dan bersahaja jika ada generasi-generasi X yang menyatakan 'tek' saya kecik atau susu saya tidak cukup. mahu tahu jawapannya? nanti saya kongsikan.

dua bulan kini...cuti bersalin pun sudah habis. Umar Musleh pun sudah giat membina badan. 6.5kg kiraan terkini seminggu lepas. alhamdulillah..berkat susu ibu :)


oh..inilah gaya Umar Musleh yang terbaru. Subhanallah Alhamdulillah Laillahaillah Allahuakbar! comel, sihat, cergas, cerdas, murah senyuman, suka berbual. saya sayang anak saya :D

dan begitu kisahnya..


.:pertama:.

salam.

ini yang pertama. entri yang pertama. untuk blog tentang anak pertama.

ye..biasanya orang akan teruja atau bahasa lainnya, 'excited' untuk yang pertama. pertama kali jatuh cinta, pertama kali naik kapal terbang, pertama kali dapat gaji, pertama kali jumpa artis..begitu kisahnya dengan saya. saya teruja dengan anak pertama saya. sampai saya asyik mahu bercerita tentang dia.

maka, saya persembahkan blog khas ini untuk anak pertama saya. oh, jangan mendambakan bahasa 'gila-gila' seperti di blog satu lagi. sebab blog ni saya 'bina' atas nama ummumusleh. maka, ini adalah blog mak-mak orang. maka, saya perlu bersopan santun sebagai mak orang. sementelah pula (gitu ayat bahasa buku teks) blog ini bakal saya kongsikan secara umum. ingin saya kongsikan perasaan dan pengalaman saya sebagai seorang ibu kepada sang mujahid kecil saya yang pertama itu.

moga perasaan dan pengalaman yang bakal saya kongsikan di sini akan jadi sempadan mahupun teladan terutama dalam isu penyusuan susu badan, kesihatan dan sebagainya. ameen ya robb.

terimalah...yang pertama